Roti canai terbang pukau pelanggan
Sinar Harian
Februari 23, 2022 09:36 MYT
Februari 23, 2022 09:36 MYT
POKOK SENA: Kehebatan seorang remaja menebar roti canai 'terbang' bak filem Lagi Lagi Senario di kedai makan keluarga mereka di Pokok Sena sering memukau pelanggan.
Malah, video-video pendek dikongsikan Muhammad Muiz Ruzaini, 19, yang memiliki seramai 259,100 jumlah pengikut menerusi aplikasi TikTok miliknya sering mendapat perhatian daripada orang ramai.
Muhammad Muiz yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Teknik Alor Setar berkata, dia mula belajar menebar roti canai menggunakan baju dan tuala terlebih dahulu sebelum mahir seperti sekarang.
“Pada peringkat awal, saya akan berlatih memutar dan melambung tuala dan baju hampir setiap hari dalam tandas asrama ataupun dalam bilik tidur di sekolah.
“Selepas hampir setahun berlatih menggunakan tuala dan baju, saya akhirnya mampu menebar doh roti canai,” katanya ketika ditemui di Aneka Roti Canai Pokok Sena bersebelahan Balai Polis Pokok Sena, di sini pada Selasa.
Menurut Muhammad Muiz, dia turut berusaha meningkatkan kemahiran menebar roti canai dengan berulang alik dari Kedah ke Pulau Pinang bagi berguru dengan penebar roti canai profesional, Afiq Bakar.
“Alhamdulillah, berkat kesungguhan untuk mempelajari aksi roti canai terbang membuahkan hasil apabila saya kini mampu mencapai tahap ini dalam bidang menebar roti canai,” katanya yang merupakan Johan Pertandingan Bakat Penebar Roti di Menara Alor Setar pada 2019.
Muhammad Muiz memaklumkan, dia akan melakukan persembahan menebar roti canai terbang kepada pelanggan yang berkunjung ke kedai makan apabila berkelapangan ataupun mendapat permintaan.
Kakaknya, Nur Amni Aqilah, 25, turut mahir menebar roti canai di kedai makan tersebut yang beroperasi dari jam 7 pagi sehingga 1 petang walaupun bidang itu sering dimonopoli lelaki.
Lulusan Diploma Vokasional Pengurusan Perniagaan dari Kolej Vokasional Sungai Petani 2 itu memberitahu, dia mula belajar menebar roti canai sejak 2015 sendiri.
“Bagaimanapun, kini hanya sekali sekala saya menebar roti canai untuk mengantikan pekerja bercuti disebabkan kesibukan menguruskan kedai makan yang telah beroperasi selama 30 tahun,” katanya.
Nur Amni memberitahu, terdapat pelbagai menu di kedai makan itu termasuklah roti sarang burung, roti teloq berceghau, roti doll, roti teloq roll, roti gulung berchegau, roti pisang coklat, roti cheese, roti pisang coklat ala Thai dan murtabak maggi.
“Terdapat kira-kira sembilan pekerja di kedai ini termasuklah saya sendiri selain dibantu bapa, Ruzaini Khamis, 56, dan Muhammad Muiz bagi memenuhi permintaan hampir 400 pelanggan setiap hari,” katanya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.