Rosmah tiada kaitan 1MDB - Peguam

Sinar Harian
Jun 26, 2018 23:07 MYT
Datin Seri Rosmah Mansor didakwa tiada kaitan dengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB). -Sinar Harian
Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiada kaitan dengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam, Datuk K Kumaraendran dan Datuk Geethan Ram Vincent dalam satu kenyataan berkata, Rosmah langsung tidak terlibat dalam operasi syarikat berkenaan.
"Kami telah meneliti perkara-perkara yang dilaporkan dalam Wall Street Journal (WSJ), yang memetik sumber mendakwa bahawa Rosmah adalah individu utama dalam dakwaan penyelewengan kewangan 1MDB.
"Kami ingin ulangi, bahawa anak guam kami tidak mempunyai kaitan atau peranan langsung dan tidak langsung dalam operasi harian syarikat tersebut, lebih-lebih lagi hal pengurusan kewangannya atau mereka yang dilantik mengawasi firma itu," kata mereka dalam satu kenyataan mewakili Rosmah.
Menurut mereka, Rosmah juga langsung tidak terlibat dalam sebarang keputusan yang dibuat Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjadi Perdana Menteri.
"Sebagai isteri seorang perdana menteri ketika itu, Rosmah menjarakkan diri daripada perkara-perkara yang ditangani oleh Najib dan beliau tidak pernah pada bila-bila masa pun mempengaruhi sebarang keputusan oleh pihak eksekutif.
"Oleh itu, dengan mengaitkan Rosmah terus kepada 1MDB dan menimbulkan tuduhan terhadapnya, kami bimbang ia adalah satu usaha untuk mempengaruhi hasil siasatan yang sedang dijalankan dan paling teruk untuk merosakkan imej Rosmah," katanya.
Kata kenyataan itu lagi, Rosmah akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa yang menyiasat isu tersebut.
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Geethan Ram Vincent #Kumaraendran #Najib Razak #peguam #peguan #Rosmah Mansor #Wall Street Journal
;