Rosmah tarik balik tuntut rantai tangan berlian AS$220,500
Sinar Harian
Jun 8, 2022 15:04 MYT
Jun 8, 2022 15:04 MYT
KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor menarik balik tuntutannya di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, terhadap rantai tangan emas putih bertatahkan berlian bernilai AS$220,500.
Ketika pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, peguam Azamuddin Abd Aziz yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri itu berkata, barang kemas itu kini disimpan dalam bilik kebal Bank Negara Malaysia (BNM).
“Anak guam kami tidak mahu lagi meneruskan tuntutan terhadap barang tersebut," katanya.
Sementara itu, peguam Datuk David Gurupatham yang mewakili syarikat barang kemas Lubnan, Global Royalty Trading SAL mengesahkan perkara tersebut.
“Penarikan tuntutan oleh Datin Seri Rosmah, telah menjimatkan masa dan kos semua pihak yang terlibat dalam kes ini,” katanya.
Selain Rosmah, Global Royalty turut membuat tuntutan terhadap barang kemas itu
Pada 31 Mac 2021, media melaporkan, Najib dan Rosmah serta Global Royalty Trading SAL, Samer Halimeh akan memeriksa 11,991 barang kemas yang kini disimpan dalam lebih 90 kotak di dalam bilik kebal di BNM.
Barang kemas itu antara pelbagai barangan yang disita polis dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion Residences pada Mei 2018 yang didakwa ada kaitan dengan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Artikel asal ini diterbitkan di portal Sinar Harian