Rosmah sekali lagi mohon pasport dikembalikan
Sinar Harian
Ogos 16, 2023 14:43 MYT
Ogos 16, 2023 14:43 MYT
PUTRAJAYA: Datin Seri Rosmah Mansor memohon pasportnya yang kini ditahan oleh mahkamah berkaitan kes jenayah, dikembalikan buat kali keempat bagi membolehkan beliau melawat anak perempuannya yang kini mengandung anak ketiga, di Singapura.
Notis permohonan isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu difailkan melalui Tetuan Akberdin & Co pada Jumaat minggu lalu dan akan didengar di Mahkamah Rayuan pada Khamis.
Menerusi afidavit yang diikrarkan, Rosmah, 72, memohon agar pasportnya dikembalikan pada tiga tarikh berasingan iaitu 18 hingga 23 Ogos; 26 Ogos - 6 September dan 9 September - 31 Oktober depan.
Menurutnya, di antara tarikh-tarikh itu, pemohon akan pulang ke tanah air bagi menghadiri perbicaraan kes jenayahnya pada 24 -25 Ogos dan 7- 8 September.
Katanya, lawatan ke Republik itu dibuat kerana Rosmah selaku pemohon berhasrat untuk melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa, 35, yang kini mengandung anak ketiga dan dijangka bersalin pada 28 Ogos ini.
Nooryana merupakan anak sulung Najib dan Rosmah, telah berkahwin dengan seorang pemuda warganegara Kazakhstan, Daniyar Kessikbayev dan kini menetap di Singapura.
"Pemohon sebelum ini telah membuat permohonan yang sama pada Oktober 2021 dan tahun ini iaitu Mac serta Jun lalu.
"Semua permohonan itu telah dibenarkan oleh mahkamah malah ia tidak mendapat bantahan daripada pihak pendakwaan," katanya.
Menurut afidavit itu juga, Rosmah sedar akan natijah sekiranya ingkar atau enggan menuruti perintah mahkamah agar hadir sebutan dan perbicaraan yang dihadapinya.
Hakikatnya, pemohon sehingga ke hari ini tidak pernah gagal atau cuai untuk hadir ke mahkamah bagi mana-mana prosiding tanpa alasan yang munasabah.
Pada 7 Julai lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan prosiding rayuan bagi mengetepikan sabitan kes rasuah dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta yang dikenakan terhadapnya berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Pengurusan kes seterusnya pada 18 September depan.
Isteri bekas perdana menteri itu turut berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). - Sinar Harian