Rosmah saran isteri wakil rakyat aktif guna media sosial

Bernama
Februari 9, 2017 14:29 MYT
Datin Seri Rosmah Mansor pada majlis persamian Program Tahunan Isteri-isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional SeMalaysia (PTIWRBNM) di Stadium Sultan Abdul Halim di sini. - Foto BERNAMA
Isteri perdana menteri, Datin Rosmah Mansor menyarankan supaya isteri wakil rakyat Barisan Nasional (BN) lebih kerap memuat naik aktiviti terkini di media sosial agar sumbangan dan kerja-kerja kebajikan mereka diketahui rakyat di peringkat akar umbi.
Rosmah, yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI), berkata walaupun pelbagai program kebajikan dianjurkan namun masih ramai dalam kalangan masyarakat tidak tahu atau peka terhadap kerja-kerja amal yang dilakukan.
Justeru, beliau menyeru supaya badan-badan amal di negeri masing-masing mewujudkan akaun Facebook, Instagram dan memuatnaikkan gambar-gambar akvtiviti serta mentularkan maklumat perkembangan terbaru.
"Kita tak berhasrat untuk bermegah dengan sumbangan dan hasil keringat yang telah dicurahkan, namun penting untuk masyarakat mengetahuinya, justeru suka atau tidak kita perlu guna kaedah hebahan masa kini iaitu media sosial," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis persamian Program Tahunan Isteri-isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional SeMalaysia (PTIWRBNM) di Stadium Sultan Abdul Halim di sini.
Program lima hari itu, yang bermula semalam, tekah disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Rosmah berkata media sosial mempunyai pengaruh yang besar dalam perkongsian maklumat berbanding hebahan melalui media cetak yang kini kurang mendapat perhatian.
Isteri perdana menteri itu turut meluahkan rasa kesal kerana ada pihak yang memandang ringan usaha-usaha murni yang dilaksanakan oleh badan amal itu.
Program itu menyaksikan dua acara dipertandingkan iaitu badminton dan tenpin boling yang melibatkan 570 peserta daripada 14 negeri termasuk anggota Bakti.
Sementara itu Ahmad Bashah dalam ucapannya, berkata, beliau sering menyakini bahawa sukan adalah wadah terbaik memupuk semangat permuafakatan antara masyarakat.
"Pada sukan itu wujud unsur berpasukan, saling bekerjasama, semangat tidak mudah kalah dan bersama mencapai matlamat yang ditetapkan," katanya.
-- BERNAMA
#BN #isteri Perdana Menteri #media sosial #Rosmah Mansor #wakil rakyat
;