Rosmah 'naik angin', enggan tinggalkan bilik bicara

Astro Awani
Februari 12, 2020 18:54 MYT
Rosmah dilihat tidak berganjak dari kandang tertuduh, walaupun semua pihak terlibat dalam kes tersebut telah meninggalkan bilik perbicaraan. - Gambar fail
Datin Seri Rosmah Mansor 'naik angin' dan enggan meninggalkan bilik perbicaraan Mahkamah Tinggi, di sini pada Rabu.
Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak itu tidak mahu berbuat demikian selepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar perbicaraan kes melibatkannya memutuskan supaya perbicaraan berehat untuk makan tengah hari.
Rosmah tidak berganjak dari kandang tertuduh walaupun semua pihak terlibat dalam kes tersebut telah meninggalkan bilik perbicaraan.
Pembantunya kelihatan memujuknya untuk keluar, namun Rosmah tetap bertegas dengan pendiriannya.
Tindakkannya itu menyebabkan peguam bela, Datuk Jagjit mengemukakan permohonan supaya mahkamah bersidang semula dan memohon supaya prosiding sebelah petang dilapangkan atas alasan anak guamannya tidak sihat.
Mahkamah membenarkan permohonan berkenan dan perbicaraan bersambung esok.
Untuk rekod, pada kebiasannya, bilik perbicaraan dikunci pada waktu rehat untuk makan tengah hari dan akan dibuka semula sebelum 2 petang bagi menyambung semula prosiding.
Rosmah, 68, berdepan tuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantu Rosmah iaitu Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.
#Datuk Jagjit #isteri bekas perdana menteri #mahkamah #peguam bela #perbicaraan #Rosmah Mansor
;