Rosmah Mansor dipanggil bela diri... tidak bermaksud bersalah
Umavathi Ramayah
Februari 18, 2021 17:23 MYT
Februari 18, 2021 17:23 MYT
KUALA LUMPUR: Seseorang tertuduh adalah tidak bersalah sehingga pertuduhan dibuktikan di akhir proses perbicaraan.
Ini bermakna sekiranya kes prima facie berjaya dibuktikan pada akhir pendakwaan, sesuatu kes itu akan ke peringkat yang seterusnya iaitu proses pembelaan sebelum mahkamah membuat keputusan.
Setiap tertuduh mempunyai hak untuk membela dirinya.
Hari ini, isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor diperintah untuk membela diri atas tuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar bagi 360 buah sekolah di pedalaman Sarawak.
Mengulas perkara itu, peguam kanan, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos menjelaskan meskipun kes prima facie berjaya dibuktikan, namun kes belum berakhir dan pihak satu lagi mempunyai hak untuk membela dirinya.
Secara ringkasnya, kata beliau, tujuan pembelaan adalah bagi memberi peluang kepada pembela untuk menimbulkan keraguan atau mencabar keterangan di peringkat pendakwaan.
Berkongsi dengan Astro AWANI katanya, setiap tertuduh akan diberi tiga pilihan bagi membela dirinya seperti berikut:
Pilihan pertama:
Orang Kena Tuduh (OKT) boleh memilih untuk berdiam diri dengan tidak memberi sebarang kenyataan atau keterangan.
Pilihan kedua:
OKT boleh memberi kenyataan dan bukannya keterangan tetapi dari kandang tertuduh. Apabila memberi kenyataan tidak bersumpah dari kandang tertuduh, OKT tidak boleh disoal balas.
(Ia pernah dilakukan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika disabitkan dengan pertuduhan liwat sebelum ini)
Pilihan ketiga:
OKT diberi pilihan untuk memberi keterangan dari kandang saksi. Apabila OKT mengambil pilihan ini, maka OKT boleh disoal balas oleh barisan pendakwaan dan keterangan beliau boleh diuji menerusi soal balas.
Selain memberi keterangan sendiri, OKT juga boleh memilih untuk memanggil saksi-saksi yang boleh menyokong keterangan yang diberikan.
Jahaberdeen berkata, selepas ini, hakim akan melihat secara keseluruhan keterangan yang diberikan semasa pembelaan dalam konteks keterangan yang diberikan dalam peringkat pembelaan sebelum membuat keputusan sama ada tertuduh bersalah atau tidak pada akhir kes pembelaan.
Mahkamah Tinggi hari ini dimaklumkan Rosmah memilih pilihan ketiga iaitu memberi keterangan dari kandang saksi pada perbicaraan bela diri nanti.
#Rosmah Mansor
#Najib Razak
#Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
#projek tenaga solar
#diperintah bela diri
#akhir pendakwaan