Rosmah Mansor dimasukkan ke hospital malam tadi

Astro Awani
Februari 4, 2020 12:34 MYT
Rosmah ditemani suaminya ke hospital sekitar pukul 10.30 malam. - Gambar fail
Datin Seri Rosmah Mansor dilaporkan dimasukkan ke hospital lewat malam tadi selepas mengalami sakit belakang dan tengkuk yang serius.
Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu dimasukkan ke wad sebuah hospital swasta untuk menerima rawatan susulan kesakitan yang ditanggungnya.
Media-media tempatan melaporkan, Rosmah ditemani suaminya ke hospital berkenaan sekitar pukul 10.30 malam.
Kesakitan yang dialami menyebabkan Rosmah tidak boleh duduk lama dan beliau dilaporkan menjalani rawatan lanjut pagi ini.
Pada Isnin, perbicaraan hari pertama kes rasuah melibatkan Rosmah terpaksa ditangguhkan atas alasan tidak sihat.
Perbicaraan akan bermula pada hari Rabu ini pada pukul 10 pagi.
Datuk Seri Jagjit Singh yang mewakili Rosmah memaklumkan kepada Hakim Mohamed Zaini Mazlan bahawa anak guamnya tidak dapat hadir untuk perbicaraan ini.
"Tertuduh tidak sihat. Kami telah serahkan salinan laporan kesihatan bertarikh 2 Februari kepada Yang Arif," katanya.
BACA: Rosmah Mansor tidak sihat, perbicaraan kes rasuah ditangguhkan
#masuk hospital #Rosmah Mansor #sakit belakang #sakit tengkuk
;