Rosmah lepas, bebas: ‘6 tahun ibu berjuang untuk keadilan’ - Yana Najib

Sinar Harian
Disember 19, 2024 15:15 MYT
Nooryana (kanan) memberitahu bahawa ibunya, Datin Seri Rosmah Mansor, 73, menempuhi dugaan itu dengan tabah.
KUALA LUMPUR: Anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Nooryana Najwa meluahkan rasa syukur kerana ibunya dilepaskan dan dibebaskan atas beberapa pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.
Dalam hantaran di Instagram, Nooryana memberitahu bahawa ibunya, Datin Seri Rosmah Mansor, 73, menempuhi dugaan itu dengan tabah
“Alhamdulillah, rasa sangat lega selepas enam tahun. Dia telah berjuang dalam perjuangannya sendiri untuk keadilan.
“Seterusnya, marilah kita bersabar menunggu 6 Januari (pendengaran bagi rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum) yang akan datang ini.
“Semoga yang baik-baik lagi akan datang selepas ini,” katanya dalam hantaran pada Khamis.
Pendakwaan akan cabar pembebasan Rosmah di mahkamah
Sementara itu, Rosmah dalam perkongsian di Facebook, turut memanjatkan kesyukuran dengan keputusan tersebut.
“Syukur Alhamdulillah.. Masya-Allah, Tabarakallah, Alhamdulillah. Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar. Allahu Mustaan.
“Terima kasih kepada peguam saya, hakim serta semua penyokong yang selama ini mendoakan kemenangan dari Allah ini,” katanya.
Beliau turut berkongsi petikan Surah Yusuf, ayat 83 yang berkisar tentang kesabaran.
Rosmah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis, atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.
Hakim, K Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Rosmah, 73, untuk membatalkan semua kes itu.
Selain perbicaraan itu, Rosmah masih menghadapi prosiding rayuan terhadap keputusan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) yang menjatuhinya hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion. - Sinar Harian
#Rosmah Mansor #Nooryana Najwa #Najib Razak #Rosmah bebas
;