Rosmah kini bebas, boleh tidur lena
Sinar Harian
Mei 20, 2018 05:22 MYT
Mei 20, 2018 05:22 MYT
Isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tidak menyimpan dendam terhadap individu yang berpaling tadah dan menyalahkan suami selepas kekalahan BN dalam PRU14, lalu.
Dalam wawancara bersama akhbar Malay Mail pada Sabtu, beliau berharap segala masalah yang sedang melanda beliau dan keluarganya dapat diselesaikan dengan cara baik.
"Ia adalah perkara biasa dalam politik. Apabila kita berada di atas, semua orang sanjung, tetapi apabila kita mengalami masalah, keadaan menjadi seperti dijangkakan. Ia adalah sebahagian daripada kehidupan.
"Semua orang mempunyai hak untuk bercakap apa yang mereka mahu,” katanya.
Beliau menegaskan, fokusnya kini hanya mahu melindungi diri dan keluarganya dan yakin kehidupannya akan kembali normal secepat mungkin.
"Buat masa ini, kami hadapi apa jua yang berlaku dengan baik. Berada dalam keluarga politik, kami sudah biasa dengan keadaan ini.
"Ini adalah salah satu kesukaran dan bahaya dalam politik yang harus kami tempuh," katanya.
Sepanjang sesi wawancara itu, Rosmah ditemani peguamnya, Datuk Geethan Ram Vincent dan M Puravalen, serta beberapa kenalan rapatnya.
Dalam wawancara itu juga, Rosmah berkata, kini beliau lebih bebas melakukan apa saja, termasuk tidur lebih lena.
"Ini adalah kehidupan yang perlu dihadapi. Saya tidak minta ia berlaku, namun ia kehidupan yang lebih baik, kini saya boleh melakukan apa yang saya mahu lakukan.
"Jika saya mahu tidur, saya boleh tidur lena dan bangun apabila suka," katanya.
Namun, Rosmah berharap, siasatan dan pemeriksaan polis di rumahnya dapat berakhir dengan cepat, kerana beliau dan keluarganya mahu menjalani kehidupan seperti biasa.
Selain itu, beliau juga meminta polis melayani keluarganya dengan baik sebagai warga negara Malaysia.
"Saya boleh terima semua serbuan dilakukan hingga awal subuh. Saya faham keadaan itu.
"Saya percaya, seseorang itu tidak bersalah selagi tiada bukti dia bersalah. Oleh itu, kami mahukan layanan sebagai manusia. Hak untuk dihormati," katanya.
Terdahulu, beberapa pemimpin BN termasuk Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyalahkan Najib kerana kekalahan PRU14 dengan mengatakan mereka tidak berani menyuarakan pendapat kerana takut akan tindakan balas.
Pada 2015, Najib menyingkirkan timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal dari Kabinet kerana kritikal terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib kemudian meletak jawatan sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN tiga hari selepas PRU14.
#1Malaysia Development Berhad
#1MDB
#berpaling tadah
#boleh tidur lena
#Khairy Jamaluddin
#Muhyiddin Yassin
#PRU14
#Rosmah Mansor
#Shafie Apdal
#tidak menyimpan dendam
#UMNO