Rosmah dan Najib tiba di Mahkamah berselang 5 minit
Fareez Azman
Februari 18, 2021 09:30 MYT
Februari 18, 2021 09:30 MYT
KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kira-kira jam 9.15 pagi tadi bagi menghadiri prosiding keputusan kes rasuah dihadapinya.
Isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memakai baju kurung kuning itu dilihat tenang ketika memasuki pekarangan mahkamah.
Selang lima minit kemudian, suaminya pula tiba bagi menemani Rosmah sebelum menghadiri perbicaraan kes berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Rosmah berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan lain menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.
Ia melibatkan projek hibrid solar bagi 369 sekolah di pedalaman Sarawak.
Mahkamah akan memberikan keputusan sama ada membebaskan Rosmah daripada pertuduhan ataupun memintanya membela diri terhadap pertuduhan rasuah sebentar lagi.