Rosak penghadang jalan di laluan tikus: Polis Terengganu tingkat rondaan

Nur Fazlizai Ali
Jun 10, 2021 10:41 MYT
Rohaimi berkata, setakat ini dua perbuatan khianat merosakkan penghadang jalan yang dipasang susulan pelaksanaan PKPD, telah dikesan. - Gambar fail
HULU TERENGGANU: Polis Terengganu mempertingkatkan pemantauan dan rondaan di laluan alternatif serta laluan tikus di negeri ini bagi memastikan tiada lagi insiden khianat.
Setakat ini, dua perbuatan khianat dengan merosakkan penghadang jalan telah dikesan, susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Kuala Terengganu.
Ketua Polis Negeri Datuk Rohaimi Md Isa berkata, satu kes direkodkan di daerah Besut manakala kes kedua dilaporkan di daerah Kuala Terengganu.
“Pada peringkat awal, mungkin kerana mereka tidak biasa dengan keadaan dikawal ketat. Tetapi, kemudiannya, mereka telah biasakan diri.
"Alhamdulillah tiada lagi pengkhianatan seperti itu,” katanya ketika ditemui pada Rabu semasa meninjau operasi sekatan jalan raya di Hulu Terengganu
Beliau yakin masyarakat telah faham dengan kawalan dan sekatan yang dilakukan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
Terdahulu, polis mengesan penghadang plastik dan kawat duri yang dipasang di Kampung Gong Lapang dibakar individu tidak bertanggungjawab.
Ia disusuli di daerah Kuala Terengganu di mana terdapat individu yang bertindak mengalihkan konkrit dan penghadang jalan yang dipasang di laluan alternatif.
#COVID-19 #perintah kawalan pergerakan #PKPD #terengganu #laluan tikus #jangkitan #khianat #jalan alternatif #Besut #Kuala Terengganu #Sekatan Jalan Raya
;