Rosak harta benda sekolah: KPM sudah panggil pelajar bantu siasatan

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 18, 2023 13:15 MYT
Fadhlina meminta orang awam menurunkan video yang memaparkan tindakan vandalisme pelajar tersebut yang telah dimuat naik di media sosial. - Foto fail/BERNAMA
NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah mengenalpasti identiti sekumpulan pelajar sebuah sekolah menengah di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di Pulau Pinang yang didakwa bertindak merosakkan harta benda didalam sebuah kelas selepas sesi terakhir sekolah semalam.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pelajar berkenaan telah dipanggil bagi membantu siasatan berhubung tindakan mereka.
Jelasnya, pihak sekolah turut memanggil ibu bapa kepada pelajar berkenaan dan mereka ini akan diberikan bimbangan serta kaunseling susulan insiden tersebut.
Fadhlina berkata pihak KPM tidak akan berkompromi dengan tindakan-tindakan vandalisme dan keganasan seperti ini.
"Pertama saya fikir tindakan daripada sekolah adalah memanggil anak-anak ini dan ibu bapa mereka untuk siasatan dan bimbingan serta kaunseling juga saya fikir penting kerana berdasarkan video tular itu saya tidak fikir ia satu perkara yang sepatutnya berlaku.
"Kita memang tidak berkompromi dengan tindakan-tindakan vandalisme dan keganasan jadi barangkali perlu ada bimbangan dan kaunseling perlu diberikan kepada anak-anak ini.
"Saya harap perkara ini tidak ditularkan kerana kita nak menjaga dan memelihara identiti anak- anak," katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina berharap tindakan vandalisma ini tidak terus menjadi budaya kerana ia bukan tindakan yang wajar diikuti dalam kalangan pelajar sekolah.
Katanya insiden sedemikian tidak seharusnya berlaku dan beliau berharap ia tidak berulang di masa hadapan.
Dalam pada itu, Fadhlina meminta orang awam menurunkan video yang memaparkan tindakan vandalisme pelajar tersebut yang telah dimuat naik di media sosial.
Fadhlina berkata demikian selepas hadir pada majlis penyerahan bantuan baucar persekolahan kepada lima Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil bagi daerah Jawi di SJK Nibong Tebal pada Sabtu.
Terdahulu, tular di media sosial dua klip video memaparkan tindakan beberapa remaja yang membaling beberapa kerusi plastik dipercayai berlaku dalam sebuah kelas serta pintu tandas selepas sesi terakhir sekolah semalam.
Orang ramai yang melihat video berkenaan menyelar tindakan pelajar yang didakwa pelajar tahun akhir di sekolah berkenaan.
#KPM #pelajar sekolah #Fadlina Sidek #siasatan
;