ROS tolak dakwaan segelintir ahli MIC
Bernama
Oktober 15, 2014 23:52 MYT
Oktober 15, 2014 23:52 MYT
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) hari ini menafikan dakwaan segelintir anggota MIC kononnya jabatan itu tidak mengambil tindakan berhubung aduan salah laku dan penyalahgunaan kuasa
dalam pemilihan MIC pada November tahun lepas.
Timbalan Ketua Pengarah ROS, Mohd Norzam Mustapa berkata, jabatannya telah menjalankan siasatan sebaik menerima laporan mengenai dakwaan kononnya pemilihan bagi jawatan tiga Naib Presiden dan 23 Anggota Jawatankuasa Pusat (CWC) parti itu mempunyai unsur-unsur penyalahgunaan kuasa.
"Untuk makluman, siasatan telah pun dijalankan sebaik laporan diterima dan kini dalam peringkat melengkapkan kertas siasatan berkenaan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Pemilihan pemimpin MIC 2013-2016 pada tahun lepas menyaksikan pertandingan lapan pemimpin kanan termasuk Mohan merebut tiga jawatan naib presiden, manakala 88 calon merebut 23 kerusi Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) termasuk dua calon wanita.
Dalam pemilihan itu, Datuk S.Sothinathan; Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M.Saravanan; dan Datuk S.Balakrishnan memenangi tiga jawatan naib presiden parti itu.