ROS profesional, ikut peraturan - TPM
Abd Razak Mohd Ali
Julai 8, 2017 12:41 MYT
Julai 8, 2017 12:41 MYT
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bertindak profesional dan mengikut peraturan apabila mengarahkan DAP mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan ROS adalah mengikut perlembagaan parti itu sendiri dan Akta Pertubuhan 1966 demi menjaga kepentingan ahli dan pertubuhan itu.
Menurut beliau, walaupun menjadi menteri yang bertanggungjawab terhadap ROS tetapi beliau telah meminta segala tindakan jabatan itu dibuat secara profesional.
"ROS memang berjumpa dengan saya; saya meminta supaya mereka bertindak secara profesional dan tidak menggunakan emosi, jauh sekali menggunakan pemikiran di luar kotak perlembagaan DAP sendiri dan Akta Pertubuhan 1966.
"ROS adalah badan yang bertindak bagi menjaga kepentingan mana-mana ahli pertubuhan, termasuk pertubuhan politik kerana perlembagaan adalah asas kepada parti politik atau pertubuhan berkenaan," katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Wisma UMNO Bagan Datuk pada Sabtu.
Beliau mengulas reaksi Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menyifatkan arahan ROS supaya parti itu mengadakan semula pemilihan CEC sebagai tidak masuk akal.
Timbalan Perdana Menteri yakin ROS juga akan mengeluarkan surat rasmi kepada DAP mengenai arahan tersebut.
Menurutnya, tidak ada tempoh masa untuk DAP mengadakan pemilihan semula itu.
Bagaimanapun, ujar Ahmad Zahid, sekiranya DAP enggan mematuhi arahan yang dibuat, tindakan boleh diambil berlandaskan Akta Pertubuhan 1966 dan selaras dengan perlembagaan parti itu sendiri.
Semalam, Ketua Pengarah ROS Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata pelantikan 20 anggota CEC DAP serta pemegang jawatan utama hasil pemilihan semula yang diadakan pada 29 Sept 2013 adalah tidak sah dari segi undang-undang.
Pemilihan semula yang diadakan itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Dis 2012, iaitu yang melibatkan 2,576 perwakilan dari 865 buah cawangan.
Ini kerana hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf sahaja boleh melantik pemegang jawatan utama yang sah dan diiktiraf mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP.
#Ahmad Zahid Hamidi
#Akta Pertubuhan 1966
#DAP
#Jabatan Pendaftaran Pertubuhan
#pemilihan semula
#Perlembagaan