ROS minta MIC adakan pemilihan semula jawatan CWC dan naib presiden
Hamzah Hamid
Disember 6, 2014 17:36 MYT
Disember 6, 2014 17:36 MYT
Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah meminta MIC mengadakan pemilihan semula jawatan dalam Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan tiga jawatan naib presiden.
MIC juga terpaksa menangguhkan mesyuarat agung tahunannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), bermula dengan sayap-sayapnya Ahad ini dan Perhimpunan Agung dijadualkan pada 13 dan 14 Disember.
“ROS memutuskan perkara tersebut setelah menerima pelbagai jenis aduan daripada beberapa individu yang telah bertanding di beberapa peringkat dalam pemilihan parti iaitu cawangan, bahagian dan kebangsaan.
“Siasatan ROS mendapati terdapat beberapa kelemahan, kekurangan dan ketidakpatuhan kepada perlembagaan MIC serta akta pertubuhan,” ujar Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dalam sidang media di bangunan ibu pejabat parti itu di ibu negara hari ini.
Selain itu, ROS telah meminta MIC mengadakan semula pemilihan di lapan bahagian iaitu Bayan Baru, Bukit Gelugor, Subang, Bandar Baru Kulim, Taiping, Tambun, Sepang dan Jasin.
Dua cawangan iaitu Merlimau Utara dan Rumah Pangsa Pekeliling Selatan turut diminta berbuat demikian.
Beberapa bahagian dan cawangan telah diminta untuk mengadakan pemilihan untuk jawatan-jawatan tertentu, iaitu bahagian Batu Kawan untuk jawatan (timbalan pengerusi), Kota Raja dan Tanjung Malim (ketua bahagian), dan cawangan Taman Koperasi Polis (ketua cawangan).
“Ini memang hari yang mendukacitakan seluruh warga MIC. Dalam sejarah parti sejak ia ditubuhkan pada tahun 1946, tidak pernah berlaku keadaan seperti ini.
“Kepada semua ahli MIC, saya bermohon agar dalam situasi ini, kita perlu mengamalkan sikap yang aman dan terus mengukuhkan perpaduan. Saya beritahu mereka bahawa parti yang ditubuhkan untuk memperjuangkan hak masyarakat India ini tidak akan terbinasa hanya kerana situasi ini,” ujar Subramaniam.
Tambah beliau, hal yang terjadi itu merupakan satu petanda tentang penjagaan hak dan demokrasi. Ia juga merupakan kesempatan terbaik untuk menilai ke dalam diri dan parti bagi mengenal pasti kelemahan atau membuat perubahan-perubahan demi membawa parti ke tahap lebih baik.
“Kita perlu kukuhkan kedudukan kita sebagai parti senior dalam Barisan Nasional supaya dapat membantu membawa kemenangan dalam pilihanraya umum akan datang.
“Melalui pemikiran, pendekatan, tindakan dan pencapaian, dekatilah masyarakat India demi sokongan mereka,” ujar beliau yang mahu segala aspirasi, keperluan dan harapan masyarakat itu terus diperjuangkan.
Presiden parti, Datuk Seri G. Palanivel kini berada di luar negara atas urusan rasmi. Kandungan surat daripada ROS tersebut telah disampaikan kepada beliau melalui Setiausaha Kehormat parti.
MIC mempunyai tempoh tiga bulan untuk menjalankan pemilihan semula.