RoS batal penggantungan MTUC
Bernama
Januari 15, 2020 17:05 MYT
Januari 15, 2020 17:05 MYT
Penggantungan sementara Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang dikenakan pada 19 Dis tahun lalu telah dibatalkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
MTUC berkata bahawa RoS, dalam surat kepada kesatuan yang diterima pada Selasa, turut memaklumkan bahawa ia tidak akan mengambil apa-apa tindakan untuk membatalkan pendaftaran MTUC.
Presiden MTUC Datuk Abdul Halim Mansor dan Setiausaha Agung J. Solomon dalam satu kenyataan hari ini (Rabu) berkata RoS berpuas hati dengan penjelasan MTUC, yang disokong oleh dokumen, sebagai tindak balas kepada beberapa isu yang dibangkitkan oleh RoS yang timbul daripada aduan yang disampaikan oleh "individu yang tidak puas hati".
Mereka berkata RoS mengarahkan MTUC untuk mengeluarkan pemberitahuan berkaitan secepat mungkin untuk mengadakan Persidangan Perwakilan Tritahunan (TDC) selaras dengan perlembagaan MTUC.
"RoS juga berkata ia akan memantau MTUC, terutamanya dalam memastikan TDC diadakan mengikut undang-undang dan peraturan yang termaktub dalam perlembagaan MTUC," kata mereka.
Mengenai perkara TDC, mereka berkata kepimpinan MTUC telah memanggil mesyuarat jawatankuasa khas pada 2 Feb.
"Pada mesyuarat ini, majlis akan memutuskan semua perkara dan persiapan yang berkaitan dengan TDC," kata kenyataan itu.
Sementara itu, sumber RoS mengesahkan bahawa ia telah menghantar surat mengenai pembatalan penggantungan terhadap kesatuan itu. -- BERNAMA
#j solomon
#Jabatan Pendaftaran Pertubuhan
#Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia
#MTUC
#penggantungan sementara
#TDC