Rondaan laut bersama Malaysia, Indonesia, Filipina mulai 19 Jun ini

Bernama
Jun 4, 2017 08:00 MYT
Rondaan bersama itu diperlukan ekoran Filipina sedang menangani puak militan yang menawan bandar raya Marawi di Pulau Mindanao sejak dua minggu lalu. - Gambar fail
Malaysia, Indonesia dan Filipina akan melancarkaan rondaan maritim bersama di Laut Sulu mulai 19 Jun ini bagi memerangi ancaman militan Daish, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
"Kita sedang menunggu tarikh rondaan itu," katanya kepada para delegasi di sidang kemuncak keselamatan tahunan Dialog Shangri-la di sini pada Sabtu.
Rondaan bersama itu diperlukan ekoran Filipina sedang menangani puak militan yang menawan bandar raya Marawi di Pulau Mindanao sejak dua minggu lalu.
Serangan itu menyebabkan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengisytihar undang-undang tentera di pulau berkenaan.
Hishammuddin mengingatkan bahawa Daish mahu menubuhkan kerajaan negara Islam meliputi sebahgian Malaysia, Filipina dan Indonesia di Laut Sulu.
"Ia akan melibatkan Malaysia, Indonesia dan Filipina. Kita tidak perlu menunggu semua 10 negara anggota ASEAN untuk turut serta. Ia adalah kerjasama serantau kecil.
"Jadi dalam kalangan ASEAN, kita membuat keputusan sekurang-kurangnya tiga negara ini, bagi mengelak daripada dituduh tidak melakukan apa-apa, tiga daripada kita ini mengambil inisiatif untuk mengadakan rondaan bersama," kata Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas.
Beliau berkata Malaysia bersama Singapura dan Indonesia telah berjaya melakukan rondaan bersama di Selat Melaka bagi memerangi kegiatan lanun.
-- BERNAMA
#Daesh #daish #Filipina #Hishammuddin Hussein #Indonesia #kerajaan #keselamatan #lat sulu #Malaysia #militan #rondaan bersama #serangan
;