RON97 naik satu sen, RON95 dan diesel kekal

Bernama
Disember 15, 2021 18:45 MYT
Harga runcit petrol RON97 naik satu sen seliter daripada RM2.99 kepada RM3.00 seliter bagi tempoh 16 Dis hingga 22 Dis. - Gambar fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON97 naik satu sen seliter daripada RM2.99 kepada RM3.00 seliter bagi tempoh 16 Dis hingga 22 Dis.
Menurut Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini, harga runcit petrol RON95 dan diesel kekal, masing-masing pada RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter bagi tempoh yang sama.
Harga tersebut berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
"Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan," menurut kenyataan itu.
Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, katanya.
-- BERNAMA
#harga runcit petrol #harga minyak #RON95 #RON97 #diesel #Kementerian Kewangan #Mekanisme Harga Automatik
;