RON95 naik 1 atau 2 sen setiap minggu bermula 2020

Wan Syamsul Amly
November 27, 2019 14:24 MYT
Akta Kawalan Harga akan dikuatkuasakan supaya peniaga tidak mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan berlebihan selepas pelaksanaan PSP untuk harga petrol. - Gambar hiasan
Harga RON95 akan dinaikkan sebanyak satu atau dua sen setiap minggu bermula tahun hadapan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen berkata, ia akan diapungkan secara berperingkat sebaik sahaja Program Subsidi Petrol (PSP) bermula.
Jelasnya, keputusan itu dibuat untuk meringankan kos hidup rakyat selain mengelak harga barangan naik secara mendadak.
"Kita akan apungkan harga petrol secara berperingkat, iaitu dua sen atau satu sen seminggu, sehingga harga RON95 sampai harga pasaran.
"Tetapi untuk Sarawak, kita akan kekalkan harga RON95 iaitu RM2.08," katanya.
Chong berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang mahu tahu mekanisme kementerian mengelak harga barang meningkat selepas pelaksanaan PSP.
Dalam pada itu, ujarnya, Akta Kawalan Harga juga akan dikuatkuasakan supaya peniaga tidak mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan berlebihan selepas pelaksanaan PSP.
Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyatakan, kerajaan tetap meyumbang subsidi petrol walaupun harga RON95 diapungkan bermula 1 Januari 2020 bagi mengurangkan impak perubahan harga kepada rakyat.
Pengarah Bahagian Rasionalisasi Petroleum Kenderaan KPDNHEP Amran Ahmad menjelaskan, setiap kali semakan harga minyak dilakukan, kerajaan akan memastikan ia tidak melebihi 5 sen, dengan kos selebihnya ditanggung melalui subsidi.
Pada 7 Oktober lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan pelaksanaan PSP yang akan melibatkan 2.9 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berkenderaan.
Mereka yang layak akan diberikan subsidi petrol sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan untuk pemilik motosikal yang disalurkan dalam bentuk pemindahan tunai dan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan.
#Akta Kawalan Harga #Chong Chieng Jen #Dewan Rakyat #harga barang #harga diapungkan #harga minyak #harga pasaran #kerajaan #minyak #petrol #PSP #RON95 #subsidi
;