Rompakan rumah Duta Malaysia di Chile: Polis mulakan siasatan
Astro Awani
Jun 13, 2017 17:58 MYT
Jun 13, 2017 17:58 MYT
Kementerian Luar mengesahkan bahawa Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia ke Chile, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya di Santiago dipecah masuk oleh perompak lewat malam 12 Jun, 2017.
Menurutnya, polis Santiago telah memulakan siasatan terhadap kes itu dan telah mengambil keterangan saksi serta mengumpul bukti berkaitan dengan kes tersebut.
"Kementerian memandang serius insiden yang telah menimpa salah seorang diplomatnya.
"Sebagai barisan hadapan Malaysia di luar negara, keselamatan pegawai dan anggota Kedutaan Besar menjadi keutamaan," kata kementerian itu menerusi kenyataan dikeluarkan Wisma Putra petang ini.
Katanya, pihak kementerian akan menyusul perihal kes tersebut dengan pihak berkuasa Chile yang berkaitan.
Terdahulu hari ini, portal Biobiochile.cl yang berbahasa Sepanyol melaporkan Mohamad Rameez mengalami kerugian selepas dirompak sekumpulan lima penjenayah yang memecah masuk kediamannya di Las Flores Avenue, Las Condes, Chile.
Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 11.15 malam Ahad waktu tempatan (11.15 pagi Isnin waktu Malaysia).
#Chile
#Duta Besar Malaysia
#Kementerian Luar
#Malaysia
#Mohamad Rameez Yahaya
#polis
#siasatan
#Wisma Putra