Rompak guna parang: Dua beradik antara tiga lelaki dipenjara tujuh tahun, dua sebatan

Bernama
Januari 27, 2023 20:54 MYT
Hakim memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 23 Nov tahun lepas. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Tiga lelaki termasuk dua beradik dipenjara tujuh tahun dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, kerana merompak seorang wanita dengan menyumbat kain batik ke dalam mulut serta mengikat tangan dan kakinya.
Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman itu ke atas dua beradik Mohammad Ikram Sudirman Shah, 28, dan Muhammad Amirul Hafiz, 24, serta rakan mereka yang juga jiran mangsa Muhammad Hafiz Mohd Endo, 24, selepas masing-masing mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Kesemua mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan sebilah parang terhadap wanita berusia 27 tahun, yang mengakibatkannya kerugian lima telefon bimbit pelbagai jenama, Ipad Mini, komputer riba, konsol permainan (PS 4), enam jam tangan berjenama, gelang tangan emas, topi keledar serta wang tunai berjumlah RM50.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Kepong Setia, Jalan Silang di sini, pada 9.30 pagi, 23 Nov 2022, mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, yang berdepan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan.
Norina memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 23 Nov tahun lepas.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang berada di dalam rumah bersama tiga anaknya, didatangi tiga lelaki berkenaan yang mengetuk pintu rumahnya.
Mangsa membuka pintu dan melihat tiga lelaki berkenaan dengan seorang daripadanya memakai baju Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), menyatakan mereka merupakan pihak berkuasa tempatan dan mahu membuat bancian serta memeriksa kerosakan di dalam rumah.
Apabila lelaki yang memakai baju DBKL itu masuk ke dalam rumah, dua daripada mereka telah menutup pintu dan mengacukan parang pada leher mangsa, serta mengarahkannya duduk di sofa.
Mereka telah menutup mata mangsa dengan tuala dan mengarahkannya menunjukkan tempat simpanan barangan berharga, sebelum mengambil barang-barang tersebut.
Ketiga-tiga lelaki itu mengarah mangsa masuk ke dalam bilik dan menyumbat kain batik ke dalam mulut, selain mengikat tangan serta kaki mangsa sebelum mereka melarikan diri.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran, manakala peguam Mohamad Zaidi Othman yang mewakili Muhammad Hafiz merayu hukuman ringan, kerana anak guamnya yang bekerja sebagai penghantar makanan hanya berpendapatan RM1,500 hingga RM2,000 sebulan, perlu menyara ibu bapanya.
Mohammad Ikram dan Muhammad Amirul Hafiz yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan, kerana mereka yang mempunyai 12 beradik, perlu menyara tiga adik mereka yang masih bersekolah.
-- BERNAMA
#rompak guna parang #Mohammad Ikram Sudirman Shah #Muhammad Amirul Hafiz #dua beradik
;