Rompak berkumpulan: Pegawai polis mengaku tidak bersalah
Bernama
Julai 25, 2024 15:00 MYT
Julai 25, 2024 15:00 MYT
KOTA BHARU: Seorang pegawai polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini terhadap pertuduhan merompak secara berkumpulan wang tunai RM2,500 dalam sebuah kereta, pada bulan November lepas.
Khairul Anuar Abdul Aziz, 39, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Dia didakwa melakukan rompakan berkumpulan dalam sebuah kereta jenis Volkswagen Scirocco terhadap seorang lelaki berusia 20 tahun semasa dalam perjalanan dari Restoran Nasi Lemak Dusun Muda ke Pasar Melor di sini, antara pukul 3.30 pagi dan 5 pagi, 3 Nov lepas.
Pegawai polis itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala Khairul diwakili peguam Zainal Abidin Mustafa.
Mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan Khairul tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan serta perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.
Zulkifli menetapkan 22 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
-- BERNAMA