Rombongan Ongkili ke London untuk kaji dokumen MA63
Abdul Hafiz Mustadi
Jun 14, 2022 17:51 MYT
Jun 14, 2022 17:51 MYT
KOTA KINABALU: Kekeliruan dan salah tanggapan mengenai status tuntutan hak Sabah di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bakal terjawab dalam masa terdekat apabila rombongan pakar undang-undang daripada kerajaan Sabah dan Persekutuan akan terbang ke London pada 19 Jun ini.
Rombongan yang diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Maximus Ongkili itu akan berkampung di Arkib Negara, London selama seminggu bagi mengkaji lebih 300 dokumen berkaitan MA63 yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai dokumen sulit.
"Terdapat begitu banyak salah tanggapan dan sudah tiba masanya untuk menetapkan rekod yang betul. MA63 bukan sekadar perjanjian, oleh itu kami memerlukan semua fakta dan angka untuk membolehkan kami membuat tuntutan yang menjadi hak kami.
"Kami teruja kerana akhirnya, kami dapat memegang dan mengakses dokumen sulit ini, yang kini telah diubah status di Arkib Negara. Kami berharap dapat gambaran lebih baik tentang apa yang berlaku sebelum kemerdekaan kita pada 1963," kata Maximus di dalam satu siaran akhbar pada Selasa.
Antara yang menyertai rombongan itu, Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof; Utusan Khas Sabah ke Kawasan Pembangunan ASEAN Timur-Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Tan Sri Pandikar Amin Mulia serta pegawai undang-undang dan tertinggi dari pejabat kementerian dan Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak dan Jabatan Ketua Menteri Sabah.
Walau bagaimanapun, menurut Ongkili senarai rombongan misi itu mungkin akan bertambah dengan beberapa lagi wakil daripada kerajaan Sabah dan masih di dalam proses peringkat akhir.