Rombongan Agong disambut 10,000 rakyat di Lawas, mulakan penjelajahan Sarawak
Bernama
September 7, 2023 23:42 MYT
September 7, 2023 23:42 MYT
LAWAS: Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat tiba di sini malam ini sekali gus menandakan permulaan penjelajahan bagi peringkat Sarawak.
Keberangkatan tiba baginda berdua pada kira-kira 8 malam disambut oleh Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Pasangan diraja itu diiringi Menteri Pengiring Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Timbalan Perdana Menteri, menerima sambutan sangat meriah oleh kira-kira 10,000 rakyat di Lawas yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dan merakamkan gambar kenangan bersama baginda berdua.
Dalam titah ringkas Al-Sultan Abdullah, baginda menzahirkan rasa terharu dengan sambutan hangat rakyat di bandar paling utara di Bumi Kenyalang itu.
Awang Tengah, dalam sembah aluannya sebelum itu, turut berkongsi sejarah keberangkatan ayahanda Al-Sultan Abdullah iaitu Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ke Ba'Kelalan, sebuah kawasan dataran tinggi di pedalaman Lawas pada 1982 sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ketujuh.
Beliau turut mempersembah projek pembangunan yang giat dilaksana di daerah agak terpencil itu berbanding bahagian lain di Sarawak dengan kedudukannya yang diapit Brunei Darussalam di selatan, wilayah Kalimantan di timur dan Sabah di utara.
Persinggahan singkat rombongan diraja itu turut memberi peluang kepada suku kaum tempatan di Lawas yang terdiri daripada Melayu, Kedayan, Lun Bawang, Cina, Tagal dan Iban untuk membuat persembahan kebudayaan mereka.
Konvoi baginda berdua kemudian meneruskan perjalanan ke Bandar Seri Begawan melalui Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien sepanjang 30 kilometer dan akan berada di ibu negara Brunei Darussalam itu hingga esok.
Pada Sabtu, kembara itu akan memasuki semula Sarawak menerusi Miri di mana beberapa acara sambutan turut dirancang sebelum ia bergerak ke Bekenu dan Bintulu pada keesokan harinya.
Kembara Kenali Borneo turut melibatkan persinggahan di Sibu, Sri Aman dan Kuching sebelum dilengkapkan dengan perjalanan ke Telok Melano, Lundu di selatan Sarawak pada 13 Sept ini.
-- BERNAMA