Rombakan Kabinet tidak semestinya mengubah dasar kementerian - Ahmad Zahid

Bernama
Disember 12, 2023 06:15 MYT
Rombakan Kabinet tidak semestinya memerlukan perubahan dasar sesebuah kementerian, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. - Gambar Bernama
BANGI: Rombakan Kabinet tidak semestinya memerlukan perubahan dasar sesebuah kementerian, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata sebaliknya, dasar dan acuan yang terbukti berkesan, harus dikekalkan.
"Menteri datang dan pergi, timbalan menteri pun datang dan pergi. Namun yang lebih penting bagi kita ialah biar pun kepimpinan itu bertukar ganti, kerajaan bertukar ganti, tetapi dasar (yang baik) harus dikekalkan.
"Jangan oleh kerana mahu wujudkan legasi kononnya, maka dasar diubah, yang baik pun diubah," katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Karnival Usahawan Desa (KUD) 2O23, di sini, malam Selasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan rombakan Kabinet yang pertama sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan, dalam usaha memperkukuhkan pentadbiran sesuai dengan tuntutan dan keperluan semasa.
Rombakan Kabinet itu menyaksikan pertambahan bilangan Jemaah Menteri, pengguguran seorang menteri serta penampilan tokoh korporat dan akademik sebagai muka baharu, selain kemunculan semula lima bekas menteri.
Rombakan itu menyaksikan pertukaran portfolio melibatkan beberapa menteri dan timbalan menteri sedia, ada antaranya Datuk Seri Mohamad Hasan yang berpindah ke Kementerian Luar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pertahanan) dan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (Menteri Pendidikan Tinggi).
Mengenai KUD, Ahmad Zahid berkata, kejayaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk menarik kehadiran lebih satu juta pengunjung pada karnival di Putrajaya pada 22 hingga 26 Nov lepas, merupakan sesuatu yang harus dibanggakan dan dijadikan contoh.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyarankan kementerian berkenaan untuk berusaha menarik lebih dua juta pengunjung pada penganjuran KUD seterusnya, yang dijangka diadakan pada 2025.
Pada majlis yang turut dihadiri, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan sijil penghargaan dan anugerah kepada agensi di bawah KKDW yang terlibat menjayakan KUD 2023. - BERNAMA
#rombakan kabinet #dasar kementerian #Kabinet Kerajaan Perpaduan #Ahmad Zahid Hamidi
;