Rombakan Kabinet: "Saya terfikir... tapi tidak mendesak sangat" - PM Anwar
Fareez Azman
September 29, 2023 10:40 MYT
September 29, 2023 10:40 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan akan membincangkan mengenai rombakan Kabinet ketika beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Jumaat.
Bagaimanapun, jelas Perdana Menteri, rombakan Kabinet ketika ini tidak terlalu mendesak kerana hanya terdapat satu kekosongan jawatan menteri yang perlu diisi iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang disandang Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini.
"(Menghadap) Yang di-Pertuan Agong ini, saya memang (rutin) mingguan.
"(Rombakan Kabinet?) Mungkin ia… mungkin saya terfikir. Tak mendesak sangat sebab yang kosong satu, saya dah minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali dan Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh memberikan perhatian," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan sambutan Ulang Tahun ke-60 Lembaga Tabung Haji (TH), di Menara TH, di sini, pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan kemungkinan berlaku rombakan Kabinet dalam masa terdekat melibatkan beberapa kementerian selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai pada 7 Oktober ini.
#rombakan kabinet
#Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup
#PM Anwar Ibrahim
#jawatan menteri