Rombakan Kabinet: Pemisahan NRECC bukan tidak pernah berlaku - Nik Nazmi

Madiha Abdullah
Disember 14, 2023 22:53 MYT
Nik Nazmi berkata, pemisahan seumpama itu bukanlah sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Penstrukturan semula Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) yang dibahagikan kepada dua kementerian tidak akan mengubah objektif dan hala tuju kerajaan terutamanya dalam kelestarian alam sekitar.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pemisahan itu bukanlah sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini selain melihat rombakan itu menjadikan fungsi kementerian lebih inklusif dan efektif.
"Kalau dulu kita pernah ada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).
"Maksudnya pernah berlaku pemisahan yang hampir sama seperti kali ini. Tanggungjawab saya adalah berkaitan sumber asli, perhutanan, perhilitan, mineral, tanah dan meliputi soal alam sekitar serta perubahan iklim, itu fokus di bawah kementerian saya," katanya ketika ditemui ketika hadir untuk rakaman program Niaga Spotlight di studio Astro AWANI, pada Khamis.
Susulan rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa, Nik Nazmi akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam yang diketuai Datuk Seri Fadillah Yusof.
Kementerian Fadillah akan menyelia kemudahan awam seperti elektrik, bekalan air dan sistem kumbahan manakala portfolio Nik Nazmi akan mengendalikan sumber asli seperti hutan, tanah, pemuliharaan hidupan liar, kelestarian alam sekitar dan perubahan iklim.
Sementara itu, Nik Nazmi menyambut baik keputusan sebulat suara yang dipanggil Muafakat UAE (UAE Consensus) selepas berakhirnya Persidangan Pihak-Pihak (COP28) kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), pada Rabu.
Jelas beliau, lebih mengujakan apabila buat kali pertama transisi bahan api fosil disebut secara langsung, dan Malaysia sudah pastinya akan memperkasakan kerjasama rentas agensi bagi memastikan dasar negara dapat diselaraskan dengan komitmen menangani perubahan iklim.
"Apa yang telah diputuskan dalam Muafakat UAE ini kita akan bawa untuk lihat dasar-dasar kita, kita pun dalam proses nak siapkan LT-LEDS sebagai sebahagian komitmen dalam Perjanjian Paris 2015.
"Kita juga sedang menyiapkan rang undang-undang perubahan iklim yang juga akan jadi satu dasar yang mengikat negara kita dari segi komitmen perubahan iklim. Ini kita akan laksanakan dan selaraskan dengan Muafakat UAE termasuklah sekarang ada istilah transisi daripada bahan api fosil, itu satu perkembangan besar kerana ini kali pertama sepanjang COP diadakan, ia dimasukkan perkataan transisi tersebut.
"Jadi kita harus melaksanakan dasar kita, ada juga di bawah kementerian di bawah Datuk Seri Fadillah, ada juga yang melibatkan Kementerian Ekonomi, Pelaburan, Perdagangan...kita akan pastikan ia akan selari,"ujarnya.
Hampir 200 negara pada Rabu bersetuju dengan Muafakat UAE yang menyeru semua pihak untuk beralih daripada bahan api fosil bagi mencapai sifar bersih.
Ia bermatlamat untuk membantu negara-negara menyelaras pelan iklim kebangsaan masing-masing dengan Perjanjian Paris 2015 yang menggesa supaya mengehadkan peningkatan suhu kepada 1.5 darjah Celsius.
#perubahan iklim #alam sekitar #muafakat UAE #UAE consensus
;