Rombakan Kabinet minggu ini?

Hafiz Marzukhi
Jun 26, 2016 11:00 MYT
Sumber juga memaklumkan kemungkinan berlaku pertukaran portfolio kalangan menteri-menteri kanan. - Gambar fail
Mungkinkah akan ada muka-muka baharu dalam Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak?
Ini kerana ketika ini spekulasi bertiup kencang berhubung rombakan Kabinet yang dijangka diumumkan minggu ini.
Sumber rapat memaklumkan, rombakan Kabinet yang dikatakan dijadualkan diumum selepas Hari Raya Aidilfitri, mungkin dipercepat, seawal Isnin.
Rombakan itu sudah dijangka susulan beberapa perkembangan kebelakangan ini.
Antaranya, kekosongan portfolio Menteri Perladangan dan Komoditi, selepas penyandangnya Datuk Douglas Unggah Embas, dilantik sebagai Timbakan Ketua Menteri Sarawak 1.
Najib juga perlu mencari pengganti bagi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Seri Wahid Omar dan Datuk Seri Idris Jala di Jabatan Perdana Menteri.
Selain itu, dua lagi kekosongan portfolio dua timbalan menteri masing-masing di Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Ia susulan kematian penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnoon dalam nahas helikopter di Sebuyau Mei lalu, dan pelantikan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai Menteri Besar Kedah.
Sumber juga memaklumkan kemungkinan berlaku pertukaran portfolio kalangan menteri-menteri kanan.
#Idris Jala #Najib Razak #Perdana Menteri #Putrajaya #rombakan kabinet #wahid omar
;