Rombakan Kabinet: Kembali ke KPDN? Saifuddin enggan komen

Umavathi Ramayah
Oktober 1, 2023 16:03 MYT
Saifuddin pernah menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bermula 3 Julai 2018 sehingga Februari 2020. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail enggan memberi sebarang komen mengenai desas-desus yang mengatakan beliau akan kembali menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
"Saya belum nak bagi apa-apa komen lagi," katanya ringkas.
Beliau berkata demikian kepada media selepas program Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani, di sini pada Ahad.
Sebelum ini beberapa media melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan kembali ke KDN dan Saifuddin bakal menerajui semula KPDN.
Saifuddin pernah menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bermula 3 Julai 2018 sehingga Februari 2020.
Sementara itu, antara nama yang dikaitkan terlibat dalam rombakan Kabinet adalah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.
Kelmarin, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan membincangkan cadangan rombakan Kabinet dalam pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Bagaimanapun Perdana Menteri menjelaskan, rombakan Kabinet bukan perkara mendesak kerana hanya terdapat satu kekosongan jawatan perlu diisi iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang sebelum ini disandang Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini
#Kementerian Dalam Negeri #Saifuddin Nasution #KPDNHEP #rombakan kabinet
;