Rombakan Kabinet: Bukti kesungguhan kerajaan berdepan cabaran baharu dunia - Nazri
Irwan Muhammad Zain
Disember 12, 2023 13:15 MYT
Disember 12, 2023 13:15 MYT
KUALA LUMPUR: Rombakan Kabinet yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan kesungguhan kerajaan berdepan cabaran-cabaran baharu dunia.
Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata keputusan mewujudkan Kementerian Digital dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam menandakan kerajaan sedar cabaran-cabaran baharu yang dihadapi negara.
"Dunia kian kompleks dalam dinamik ketersalinghubungan yang tinggi, apa yang kita berdepan dan penyelesaian kepada pelbagai isu yang kita hadapi di Malaysia sebenarnya ada di luar dari Malaysia.
"Sebab itu perlunya kita bersedia dengan pelbagai strategi baharu dalam dan luar negara," katanya kepada Astro AWANI.
Beliau antara lain memuji langkah mewujudkan Kementerian Digital bagi memberi perhatian era digitalisasi.
"Ketika kunjungan perdana menteri ke San Francisco baru-baru ini beliau banyak bertemu syarikat-syarikat berkaitan digital.
"Beliau banyak membuat perbincangan tentang perubahan sistem ke arah digital yang kini dilakukan oleh banyak pihak.
"Dari awal pelantikan beliau sebagai perdana menteri pun sudah ditekankan tentang digitalisasi, jadi saya rasa beliau memang sedar tentang kepentingan perkara ini," katanya lagi.
Mohamed Nazri juga berpendapat, langkah melantik Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan kedua juga satu langkah tepat dalam usaha melonjakkan ekonomi negara.
Katanya, pelantikan Amir Hamzah juga membuktikan perdana menteri mahukan seorang tokoh yang mahir dalam dunia korporat dan kewangan untuk bersama beliau merancakkan ekonomi negara.
Pada Selasa, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet dengan menyaksikan beberapa muka baharu dilantik sebagai menteri.
Selain Amir Hamzah, Anwar turut mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Ghani dan Ahli Parlimen Kuala Selangor kembali menjawat jawatan menteri.
#Mohamed Nazri Abdul Aziz
#Anwar Ibrahim
#rombakan kabinet
#Kementerian Digital
#Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam
#kabinet malaysia
#Kabinet Kerajaan Perpaduan