Rombakan Kabinet bukan sekadar isi kekosongan - Fadillah
Astro Awani
Disember 12, 2023 15:08 MYT
Disember 12, 2023 15:08 MYT
KUALA LUMPUR: Rombakan Kabinet yang diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, disifatkan bukan sekadar mengisi kekosongan sebaliknya ke arah memperkasakan gerak kerja dan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pelantikan muka baharu dan pengwujudan kementerian baharu, serta pertukaran portfolio diyakini mampu memacu agenda kerajaan demi kesejahteraan rakyat
Beliau juga percaya Perdana Menteri telah menilai dengan teliti kesesuaian setiap menteri dan portfolio selepas pemantauan rapi sepanjang setahun Kerajaan Perpaduan.
“Dalam membuat pertimbangan penyusunan semula Kabinet kepentingan negara dan politik yang stabil tentunya menjadi keutamaan Perdana Menteri.
“Ini amat penting kerana untuk kita mengerakkan dan memperkukuhkan ekonomi, asas utama adalah kedatangan pelabur serta politik yang stabil,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, Fadillah menzahirkan penghargaan atas kepercayaan Perdana Menteri untuk beliau menerajui Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal Sabah dan Sarawak.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu juga berikrar melakukan sebaik mungkin dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab di kementerian baharu.
“Bagi hal ehwal Sabah dan Sarawak, keutamaan akan saya berikan kepada meneruskan usaha menyelesaikan segera isu-isu tertunggak dan meletakkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di tempat sepatutnya.
“Ia sekali gus merapatkan lagi jurang fizikal, ekonomi dan sosial antara Sarawak dan Sabah dengan Semenanjung,” tambah beliau.
Dalam masa yang sama, Fadillah mengajak semua barisan Kabinet yang baharu untuk terus fokus bekerja demi rakyat dan negara serta memperkukuhkan lagi ikatan perpaduan dalam Kerajaan Madani.
Fadillah sebelum ini menggalas portfolio Kementerian Perladangan dan Komoditi.