Rombakan Kabinet: Asing kementerian, fokus lebih tersusun dan tidak bertindih

Azyyati Ahmad
Disember 13, 2023 11:52 MYT
Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam di terajui oleh Datuk Seri Fadillah Yusof (kanan) sementara Nik Nazmi Nik Ahmad menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
KUALA LUMPUR: Peranan dua kementerian yang diasingkan iaitu Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam akan mengukuhkan lagi visi negara untuk bergerak meneroka tenaga baharu dan pembangunan yang mampan.
Menurut Ketua Kluster Keselamatan dan Kestabilan Negara, Majlis Profesor Unversiti Utara Malaysia, Prof Muhammad Fuad Othman, dengan adanya pecahan dua kementerian berkenaan, ia akan memberikan fokus yang lebih tersusun dan gerak kerja yang lebih bermakna serta tidak bertindih.
Muhammad Fuad berkata, jawatan yang digalas Timbalan Perdana Menteri Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam juga menunjukkan proses kosolidasi kuasa walaupun berlaku pertambahan kementerian.
"Dengan adanya dua kementerian yang memberikan fokus yang tersusun, ia akan memperlihatkan gerak kerja yang lebih bermakna yang sebelumi ini seolah-olah bertindih di situ.
"Jadi saya kira dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga ditugaskan menjaga Sabah Sarawak, kita lihat ini proses konsolidasi kuasa yang secara asasnya telah mula dilakukan," jelasnya.
Selain itu, kata beliau, rakyat akan lebih mudah untuk membezakan fungsi kedua-dua kementerian melihat kepada peranan kementerian berkenaan.
"Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam lebih kepada peranan bagaimana negara nak bergerak ke arah penggunaan solar, tenaga asli dan memastikan tenaga ini tidak habis begitu sahaja termasuk memanfaatkannya.
"Manakala, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam akan memfokuskan penjagaan alam sekitar dan bagaimana kita sebagai penduduk di bumi boleh mewarisi bumi ini kepada anak cucu kita dalam keadaan yang baik,"jelasnya lagi.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam di terajui oleh Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai menteri, manakala timbalan beliau ialah Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Sementara Nik Nazmi Nik Ahmad menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam dan dibantu oleh Datuk Seri Huang Tiong Sii sebagai timbalan.
#Nik Nazmi #Fadillah Yusof #rombakan kabinet #Kabinet Kerajaan Perpaduan
;