Rombak semula tempoh masa kerja doktor - Lam Thye
Eton Khir
Mei 5, 2022 23:17 MYT
Mei 5, 2022 23:17 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) perlu mengkaji dan merombak semula sistem pengurusan membabitkan tempoh masa bekerja doktor di institusi perubatan di Malaysia.
Menurut Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, langkah itu perlu dilaksanakan demi menjamin sistem perubatan negara secara keseluruhan.
“KKM wajar melihat semula dari aspek jadual penugasan doktor pelatih misalnya, situasi di mana seorang doktor pelatih dikehendaki untuk bekerja sehingga melebihi 16 jam adalah tidak wajar.
“Saya merasakan situasi ini memang akan menjejaskan kesihatan doktor pelatih termasuk kesihatan mental. Jadi, saya harap perkara ini dikaji semula,” katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.
Beliau mengulas mengenai kejadian seorang doktor pelatih yang menjalani latihan di Hospital Pulau Pinang (HPP) maut selepas terjatuh dari bangunan kediamannya di Jalan Datuk Keramat pada 17 April lepas.
Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mengesahkan bahawa mangsa seorang Pegawai Perubatan Siswazah yang telah melaporkan diri ke negeri itu dan ditempatkan di HPP pada 4 April yang lalu.
Susulan itu, Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang Norlela Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, mendakwa doktor junior di bawah KKM telah sekian lama menanggung waktu pekerjaan yang tidak berperikemanusiaan.
Katanya, beliau membangkitkan perkara itu berdasarkan pengalaman ahli keluarganya sendiri.