RoL, Kolam Biru kembali jadi daya tarikan baharu pelancongan

Bernama
September 15, 2021 05:13 MYT
Kawasan Kolam Biru ini akan menjadi destinasi tumpuan warga kota bagi melakukan pelbagai aktiviti riadah. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL) dan Kolam Biru bakal dirancakkan kembali sebagai daya tarikan baharu pelancongan di ibu kota.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim berkata langkah itu dibuat susulan peralihan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), pada 10 Sept lepas.
Beliau berkata ia juga akan menjadi destinasi tumpuan warga kota bagi melakukan pelbagai aktiviti riadah dan oleh itu adalah menjadi tanggungjawab bersama bagi menjaga fasiliti yang disediakan serta kebersihan sungai di sekitar projek RoL.
"Ini agar kebersihan sungai dan keindahan di kawasan RoL dapat dikekalkan bagi melahirkan Keluarga Malaysia yang mempunyai mentaliti kelas pertama sekali gus menjayakan matlamat My City My Home," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi berkenaan semalam.
Shahidan turut berkata komponen pengindahan yang meliputi pembinaan jambatan pejalan kaki yang dibina menghubungkan Masjid Jamek dan Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka, Kolam Biru serta pembangunan semula Taman Tasik Titiwangsa telah siap sepenuhnya pada hujung tahun lepas.
-- BERNAMA
#Kolam Biru #Sungai Nadi Kehidupan #Kuala Lumpur #Shahidan Kassim
;