Rokok seludup lebih RM1 juta dirampas di Tawau
Bernama
Mei 30, 2022 06:00 MYT
Mei 30, 2022 06:00 MYT
TAWAU: Pasukan Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) menggagalkan cubaan menyeludup masuk 8,650 karton rokok tidak bercukai bernilai RM1.038 juta dari Indonesia menerusi rondaan Op Benteng Bersama di Batu 3 di sini, awal pagi Isnin.
Komander ATB 2 Brig Jen Abdul Karim Ahmad berkata kejayaan itu selepas radar Stesen Pengawasan Pesisir Pantai (CSS) terlebih dulu mengesan pergerakan empat bot laju yang mencurigakan dari arah Pulau Sebatik menuju ke Batu 3 pada pukul 3.05 pagi.
Berikutan itu, katanya Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) yang sedang melaksanakan rondaan operasi diarah melakukan tinjauan ke lokasi berkenaan, sebelum mengesan sebuah lori muatan satu tan dalam keadaan mencurigakan pada 4 pagi.
"Pemeriksaan awal terhadap lori itu yang ditinggalkan selepas menyedari kehadiran pasukan keselamatan, menemukan 8,560 rokok seludup," katanya dalam kenyataan di sini.
Abdul Karim berkata pihaknya percaya kegiatan itu melibatkan sindiket warga tempatan dan asing bagi tujuan perniagaan rokok seludup di pasaran gelap sekitar Tawau.
"Semua barang rampasan termasuk lori yang dianggarkan bernilai RM40,000 diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut," katanya lagi.
Sementara itu, menurutnya ATB 2 melaksanakan pelbagai cara termasuk menggabungkan semua aset dan elemen pengawasan secara terkoordinasi bagi menjamin keselamatan perairan di pantai timur Sabah.
-- BERNAMA