Rokok seludup bernilai RM318,056 dirampas dalam serbuan di rumah usang

Petrus Bernard
November 9, 2022 12:50 MYT
Abdul Karim bersama bungkusan kotak disyaki barangan seludup dari Indonesia untuk pasaran di daerah Tawau. -Astro AWANI
TAWAU: Taktik sindiket penyeludupan menjadikan rumah usang sebagai tempat menyembunyikan rokok seludup gagal apabila diserbu pasukan keselamatan, kelmarin.
Kegiatan itu berjaya dikesan ketika anggota Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) menerusi Tim Quick Reaction Force (QRF) membuat rondaan Op Bentang Bersama di kawasan Kampung Batu 3, di sini, jam 8.40 malam.
Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, ketika rondaan dijalankan, pasukan QRF mengesan sebuah rumah usang menyimpan bungkusan kotak disyaki barangan seludup dari Indonesia untuk pasaran di daerah ini.
"Ketua Platun Tim QRF melaporkan kejadian itu kepada pegawai bertugas Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di ATB 2.
"POWB telah menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tawau untuk diatur gerak ke lokasi kejadian bagi tujuan pemeriksaan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pasukan polis kemudian tiba di lokasi bagi melaksanakan proses penggeledahan dan membawa semua bungkusan itu ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.
"Hasil pemeriksaan mendapati bungkusan itu berisi pelbagai jenis rokok dianggarkan bernilai RM318,056.
"Laporan dan penyerahan barangan rampasan dibuat oleh Tim QRF di IPD Tawau bagi kesalahan Rampasan Barang Tanpa Tuan (RBTT)," katanya.
Sementara itu, Abdul Karim berkata ATB 2 akan terus memastikan kawasan Pantai Timur Sabah sentiasa terpelihara melalui pendekatan 'Precision Information, Precision Targetting and Precision Manouver' dalam semua atur gerak operasi yang dilaksanakan.
#rokok seludup #rumah usang #sindiket penyeludupan #ATB 2
;