Rokok elektrik, satu alternatif atau lebih membawa mudarat?

Hakim Rahman
Februari 4, 2013 10:02 MYT
Bagi perokok tegar, kemunculan rokok elektrik baru-baru ini dilihat sebagai satu alternatif untuk mengurangkan ketagihan.
Ini kerana cecair yang digunakan untuk menghasilkan wap didakwa berkesan mengawal keinginan merokok dan juga menjimatkan perbelanjaan pengguna.
Namun sejauh manakah kebenaran kenyataan itu?
Adzad Abdul Wahab, 30, misalnya mula merokok seawal usia belasan tahun.
Memandang remeh soal kesihatan, Adzad tidak kisah berbelanja lebih untuk membeli rokok.
"Lepas habis SPM, saya sambung belajar. Ketika itu baru saya jadi 'heavy smoker', perokok tegar orang panggil. Ada kalanya dalam satu hari tu dua kotak rokok saya beli," kata Adzad.
Namun kesan buruk akibat ketagihannya itu mula dirasainya apabila usia semakin meningkat.
Dia mengaku pernah mencuba pelbagai cara untuk berhenti merokok, tetapi usahanya tidak membuahkan hasil.
“Masa mula-mula hisap rokok ni, kita buat kerja sikit dah mengah, semput rokok, buat kerja sikit mengah, kadang-kadang batuk, bila batuk dada sakit, itu yang pasang niat nak berhenti rokok,” katanya.
Adzad bagaimanapun tidak pernah berputus asa untuk terus mencuba menghakis tabiat buruknya itu, dan kemunculan rokok elektrik di pasaran menarik perhatiannya.
"Bila cuba tengok, tidak sakit tekak dan boleh dihisap,”kata beliau.
Adzad berkata selepas kawan-kawannya mendakwa e-rokok boleh menjimatkan duit, dia pun membuat keputusan untuk mula bertukar ke rokok elektrik.
Katanya, satu pek permulaan dijual antara RM100 – RM200, berbanding dengan rokok biasa seminggu, menelan kos hampir RM100.
Bagi Adzad, usahanya tidak sia-sia sebab selepas enam bulan menggunakan rokok elektrik, Adzad mendakwa telah berjaya membuang ketagihannya.
"Tidak teruk sangat kesan macam rokok ada nikotin. Pada saya, tidak ketagih sangat pun, sebab saya pun boleh berhenti, kalau rasa nak hisap saya hisap kalau tak, letak tepi,” kata Adzad.
Cerita Adzad itu sekaligus menjadi dorongan kepada rakan-rakannya yang lain yang berhasrat untuk membuang tabiat merokok.
Persoalannya kini, apakah kandungan yang terdapat dalam e-rokok ini? Mengapa ia dikatakan boleh mengundang penyakit kronik.
Ikuti laporan kedua Astro Awani dilema perokok tegar selain menyingkap kandungan dan kesan e-rokok .
#E-rokok #kesihatan #ketagihan #nikotin #rokok elektronik
;