Rohingya, Ocean Of Love: Warga AWANI selami kehidupan kanak-kanak Rohingya

Azyyati Ahmad
November 11, 2017 16:08 MYT
Sebahagian kanak-kanak Rohingya yang menyertai program CSR Astro AWANI 'Rohingya, Ocean of Love' di Port Dickson hari ini.
Atas semangat keprihatinan dan kasih sayang, seramai 60 warga kerja Astro AWANI meraikan kanak-kanak Rohingya di Pusat Latihan Risda Ristec, di sini dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) hari ini.
Program CSR yang bertemakan 'Rohingya, Ocean Of Love' itu disertai seramai 30 kanak-kanak Rohingya dari Knowledge Learning Garden Center, Seri Kembangan
Penganjuran kali kelima program CSR Astro AWANI yang diketuai Editor Astro Awani Azlinariah Abdullah memberi fokus bagi menghibur hati anak-anak ini dan mengenali kanak-kanak itu dengan lebih dekat serta memberi sumbangan sebagai tanda prihatin Awani kepada golongan Rohingya.
Sementara itu menurut Pengarah Eksekutif Asean Pusat Rohingya, Dr Mohd Helmi Ibrahim, usaha Astro AWANI dalam mengetengahkan nasib kanak-kanak Rohingya disambut baik sekali gus menunjukkan organisasi media ini lebih ke hadapan daripada organisasi lain.
"Malah, aktiviti CSR hari ini akan mengeratkan hubungan antara kedua-dua pihak," katanya.
Antara aktiviti yang dilakukan pada program CSR itu adalah sukaneka, zumba dan bermain bola pantai.
Selain itu, program ini memupuk budaya kesukarelawanan di samping merapatkan hubungan media dan masyarakat Rohingya.
Program ini juga mendapat sumbangan ramai pihak seperti Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Prasarana, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Nestle, Old Malaya, Cosmic Angle dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.
#Astro #CSR #kanak-kanak Rohingya #Knowledge Learning Garden Center #Malaysia #Media #Port Dickson #prasarana #Pusat Latihan Risda Ristec Port Dickson #Seri Kembangan #tanggungjawab sosial korporat
;