Rohingya: Bantahan jalanan tidak bawa sebarang perubahan - Pemuda UMNO
Wan Syamsul Amly
Julai 14, 2016 13:38 MYT
Julai 14, 2016 13:38 MYT
Bantahan jalanan ke Kedutaan Myanmar dilihat tidak membawa sebarang perubahan kepada penderitaan masyarakat Muslim Rohingya di negara tersebut.
Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda UMNO, Datuk Mohamed Hazali Abu Hassan berkata, ia hanya berkesan jika langkah diambil Myanmar sendiri selain tekanan berpanjangan daripada kesatuan ASEAN.
"Kami masih positif satu hari nanti, satu jalan penyelesaian damai boleh dicapai. Malaysia boleh dan harus memainkan peranan yang lebih instrumental untuk membantu.
"Apa-apa cadangan yang bernas harus difikirkan segera untuk membantu negara serta Kesatuan ASEAN menyelesaikan masalah dalaman Myanmar ini," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Kekejaman pada 2012 di Myanmar menyaksikan puluhan ribu masyarakat Islam Rohingya kehilangan tempat tinggal dan ribuan lain dibunuh dengan kejam oleh kumpulan ultra-nasionalis Buddha.
Sebelum ini pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Adama Dieng menuduh kerajaan Myanmar membenarkan diskriminasi terhadap penduduk Islam Rohingya.
Tegasnya, diskriminasi tersebut boleh menjurus kepada pembunuhan beramai-ramai jika tidak dibendung.
Rohingya merupakan etnik minoriti Islam di Myanmar, yang majoriti penduduknya beragama Buddha.
Bagaimanapun, kerajaan negara itu tidak mengiktiraf mereka sebagai satu daripada 135 kumpulan etnik rasmi di Myanmar sehingga kini.
Sebaliknya, Myanmar menganggap Rohingya sebagai pendatang haram Benggali dari Bangladesh yang cuba mendapatkan kerakyatan dan hak sebagai penduduk asal di situ.
Dalam pada itu tegas Mohamed Hazali, Pemuda UMNO sejak 2014 telah menghantar bantahan dan desakan secara bertulis dan lisan kepada Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur.
"Kita juga telah mendesak dan mencadangkan agar satu ketetapan dibuat untuk menguruskan mereka yang telah berada di negara ini terutamanya bagi pengajian dan pelajaran untuk anak-anak mereka.
"Kita yakin kerajaan prihatin dan akan sentiasa memperjuangkan nasib kaum Rohingya secara konsisten," ujarnya.
Sejak konflik tercetus pada 2012, lebih 100,000 penduduk etnik Rohingya menempuh perjalanan berbahaya di laut bagi mencari kehidupan yang lebih baik sama ada di Malaysia, Indonesia dan beberapa negara Asia Tenggara lain.