Rohani sokong ujian kesihatan mental untuk bakal pengantin
Astro Awani
Februari 1, 2014 19:09 MYT
Februari 1, 2014 19:09 MYT
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mencadangkan agar ujian kesihatan mental diberikan kepada pasangan yang bakal berkahwin.
Menurut menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim ia dilihat sebagai kaedah terbaik mengurangkan kes keganasan rumah tangga
"Ini satu cadangan yang baik memandangkan memang ada pasangan yang mempunyai sejarah sakit mental namun akibat rasa cinta, perkara itu tidak diberi perhatian.
"Jika bersesuaian, ujian kesihatan mental ini boleh dilaksana seperti mana ujian saringan HIV kepada pasangan yang akan berkahwin, ini bererti, jika pasangan ingin berkahwin, semua aspek perlu diperiksa secara terperinci"
Katanya lagi, pihaknya tidak menolak perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menentukan kaedah terbaik pelaksanaan cadangan berkenaan, jika dirasakan sesuai dilaksanakan.
Rohani juga berkata masalah mental yang dihadapi anggota keluarga menjadi punca kepada trend jenayah pembunuhan kanak-kanak bawah umur 12 tahun.
"Berdasarkan laporan akhbar, ada kes dilakukan anggota keluarga terdekat seperti ibu bapa serta sanak saudara.
"Fokus kementerian menerusi agensi pelaksana seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) adalah mengadakan lebih banyak program seperti kaunseling, kursus dan forum berkaitan hal kekeluargaan untuk memperkukuh hubungan kekeluargaan yang dilihat semakin rapuh ketika ini," kata beliau.