Rohani Karim Menteri Pembangunan Wanita yang baru
Bernama
Mei 16, 2013 08:20 MYT
Mei 16, 2013 08:20 MYT
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sayap Wanita Datuk Rohani Abdul Karim dilantik menteri penuh selepas menganggotai Kabinet sejak 1999.
Anggota Parlimen enam penggal dan paling kanan dari Sarawak, Rohani dilantik Setiausaha Parlimen Pembangunan Luar Bandar pada 1999 sebelum ditukar ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada 2004, dan pada 2008, beliau dilantik Timbalan Menteri di kementerian sama.
Pada Jun 2010, rombakan kecil Kabinet menyaksikan beliau dilantik Timbalan Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Pemilik Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Ohio, Amerika Syarikat itu memulakan kerjaya sebagai guru sementara di SMK Kuching dan tutor di UPM Sarawak.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Penganalisis Pengurusan di MAMPU Sarawak dari 1980 hingga 1986 dan Ahli Ekonomi Pertanian di Kementerian Pertanian selama dua tahun sejak 1986 sebelum dilantik Pengarah Biro Wanita Sarawak Kementerian Pembangunan Sosial dari 1988 hingga 1990.
Rohani bertanding buat kali pertama pada pilihan raya umum 1990 di Parlimen Santubong yang dimenangi beliau selama tiga penggal sebelum berpindah ke Parlimen Batang Lupar pada pilihan raya 2004.