Rogol, sembelih dan bunuh suri rumah, penganggur ke tali gantung

Muhafandi Muhamad
Januari 31, 2018 18:17 MYT
Penganggur Mohammad Awari Ahmad, 25, dijatuhi hukuman gantung sampai mati dan penjara 18 tahun serta 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini, selepas didapati bersalah membunuh dan merogol seorang wanita pada 2015. - Foto Bernama
Seorang penganggur dijatuhi hukuman mati dan penjara 18 tahun serta 12 sebatan selepas dia didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini kerana merogol dan membunuh seorang suri rumah tiga tahun lalu di Kampung Batu Papan,, Gua Musang.
Hukuman diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Bache selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Ahmad Bache dalam penghakimannya juga mendapati tertuduh mempunyai niat dan berada dalam keadaan sedar ketika membunuh mangsa selain mengambil kira keterangan saksi iaitu anak lelaki mangsa yang ketika itu berusia lima tahun yang melihat tertuduh sedang menyembelih ibunya.
Mengikut pertuduhan,tertuduh Mohammad Awari Ahmad, 24 tahun, telah membunuh dan merogol mangsa yang ketika itu berusia 25 tahun di sebuah rumah tanpa nombor, Kampung Batu Papan, Gua Musang antara jam 12.30 tengah malam hingga 2 pagi, pada 1 Mac 2015.
Tertuduh didakwa mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga didakwa di bawah seksyen 376(4) Kanun Keseksaan yang menbawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 15 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan dikenakan sebatan tidak kurang dari sepuluh sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Shaharaliza Ab Razak manakala tertuduh diwakili peguam yang dilantik mahkamah, Latifah Ariffin.
Tiga tahun lalu,media melaporkan mangsa meninggal dunia dipercayai akibat dikelar penjenayah yang memecah masuk rumah sewanya jam 2.30 pagi, 1 Mac 2015 ketika suaminya yang berusia, 30 tahun yang juga sukarelawan polis bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang.
Mangsa meninggal dunia jam 6.40 pagi selepas empat jam menerima rawatan di bilik kecemasan Hospital Gua Musang (HGM), malah sempat memberitahu 'petunjuk' penting yang membawa kepada tangkapan suspek.
#bunuh #Gua Musang #Hospital #Kota Bharu #mahkamah #mangsa #mati #meninggal dunia #penjara #polis #rogol #rumah #sembelih #suspek
;