Rogol pelajar Tingkatan Tiga, remaja berusia 16 tahun antara enam suspek
Umavathi Ramayah
Disember 6, 2020 12:40 MYT
Disember 6, 2020 12:40 MYT
KUALA LUMPUR: Dua lelaki berusia 16 dan 17 tahun adalah antara enam yang ditahan atas dakwaan merogol seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemua mereka yang bekerja sebagai penghantar makanan ditahan di Kampung Sungai Kayu Ara pada Sabtu, dan kini direman tujuh hari.
Katanya, berdasarkan keterangan awal, kesemua suspek termasuk dua remaja bawah umur yang tidak bersekolah itu, mengaku melakukan perbuatan terkutuk tersebut pada 2 Disember lalu.
"Semakan juga mendapati, dua daripada suspek itu mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, siasatan mendapati, mangsa mengenali suspek-suspek itu melalui seorang rakan perempuannya.
Nik Ezanee berkata, mangsa yang mengalami tekanan emosi ketika ini menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Siasatan ke atas kesemua suspek yang berusia antara 16 dan 22 tahun itu dilakukan mengikut Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun.
#jenayah
#rogol
#bawah umur
#IPD Petaling Jaya
#Kampung Sungai Kayu Ara
#Nik Ezanee Mohd Faisal
#PPUM
#Kanun Keseksaan
#reman
#pelajar tingkatan tiga
#remaja
#pelajar
#tidak bersekolah
#penghantar makanan
#suspek
#Dadah