Rogol: Kaji semula sistem pendidikan negara berkaitan pendidikan seks - MAPIM

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Ogos 18, 2016 05:42 MYT
MAPIM: Semua pihak, termasuk kementerian terlibat perlu melihat kes rogol di kalangan pelajar sekolah sebagai satu perkara serius dan ia wajar ditangani segera. - Gambar fail
Kementerian Pendidikan digesa mengkaji semula sistem pendidikan negara khususnya berkaitan pendidikan seks di sekolah jika serius mahu menangani kejadian rogol di kalangan pelajar.
Presiden Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM), Datin Seri Ismalina Ismail turut menggesa ibu bapa dan masyarakat setempat agar lebih prihatin dengan tindak tanduk remaja khususnya pelajar sekolah menengah.
Jelasnya, semua pihak, termasuk kementerian terlibat perlu melihat kes rogol di kalangan pelajar sekolah sebagai satu perkara serius dan ia wajar ditangani segera, bukannya hanya menyalahkan pihak sekolah mahupun pihak berkuasa.
"Kita kena lihat pula isu pendidikan seks di awal usia, tentang penglibatan ibu bapa dan komuniti, keprihatinan, kepedulian, pemantauan ibu bapa dan kita lihat juga bagaimana anak-anak ini boleh terjebak dalam perkara tersebut.
"Kita perlu serius kerana kita bercakap tentang tingkah laku anak-anak yang berusia 13 hingga 15 tahun lelaki dan perempuan, bermakna terdapat faktor-faktor lain yang menyumbang kepada perlakuan sebegini seperti pengaruh media, bimbingan ibu bapa dan ketidak pedulian komuniti," ujarnya lagi.
Mengulas lanjut kes rogol membabitkan pelajar perempuan tingkatan satu di Batu Pahat, Johor Datin Seri Ismalina mempersoal keprihatinan penduduk setempat di kawasan kejadian.
"Komuniti harus juga mengambil kebertanggungjawaban sebab perkara ini kerana ia berlaku di pondok kosong dan di kawasan tasik taman perumahan.
"Jadi soalan saya adakah tiada langsung orang di persekitaran yang ternampak mereka menuju ke tempat tersebut?
"Maka jawapannya pula adakah kita tidak mempedulikan mereka kerana mereka bukan anak-anak kita dan kita membiarkan ianya berlaku," katanya.
Susulan kes terbabit empat pelajar lelaki sebuah sekolah di Batu Pahat ditahan reman bagi membantu siasatan kejadian berkenaan.
#Ismalina Ismail #MAPIM #Presiden Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia #rogol