Rogol gadis bawah umur bergilir-gilir, 7 remaja didakwa
Adie Sufian Zulkefli
Disember 30, 2018 18:03 MYT
Disember 30, 2018 18:03 MYT
Tujuh remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Alor Setar atas 16 pertuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur secara bergilir-gilir pada September tahun lepas.
Kesemua suspek berusia di antara 15 dan 18 tahun itu didakwa melakukan kesalahan itu di rumah mangsa di Pendang.
Enam tertuduh yang masih bersekolah itu didakwa di Mahkamah Majistret manakala seorang tertuduh berusia 18 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen, Alor Setar.
Berdasarkan pertuduhan, kesemua remaja berkenaan mengenali mangsa berusia 13 tahun itu melalui aplikasi mudah alih WeChat.
Perbuatan remaja lelaki itu terbongkar apabila bapa mangsa menyedari kehilangan barang kemas di rumahnya sebelum menyoal anak perempuannya itu hingga membawa kepada penahanan kesemua suspek.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bersama Seksyen 376(1) akta sama.
Empat tertuduh membuat pengakuan bersalah atas tuduhan merogol remaja perempuan itu, manakala tiga lagi mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Tertuduh berusia 18 tahun dibenar diikat jamin dengan wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan ke atasnya dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rehab Abdul Syukur, manakala pendakwaan ke atas enam lagi tertuduh dikendalikan Siti Norhasliza Md Ali.
Tarikh 31 Januari 2019 ditetapkan untuk laporan akhlak dengan fakta perintah terhadap empat tertuduh, dan serahan dokumen tiga lagi tertuduh ditetapkan pada 30 Januari depan.