Rogol cucu saudara, buruh dihukum penjara 16 tahun dan 10 sebatan

Muhafandi Muhamad
November 28, 2018 15:16 MYT
Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas kesalahan merogol cucu saudaranya sendiri minggu lalu. -Astro AWANI
Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas kesalahan merogol cucu saudaranya sendiri minggu lalu.
Hukuman dijatuhkan hakim Ahmad Bazli Bahruddin selepas tertuduh mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berusia 45 tahun didapati merogol cucu saudaranya yang ketika itu berusia 15 tahun 11 bulan di sebuah rumah di Kampung Larak Pendek, Kota Bharu pada 18 November lalu jam 5 hingga 5.30 petang.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan di mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman tidak kurang dari 8 tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dengan sebatan tidak lebih daripada 10 sebatan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diringankan hukuman namun dibantah timbalan pendakwaraya, Hajarul Fallena Abu Bakar memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kepada tertuduh dengan mengambil kira trauma dan kesan psikologi kepada mangsa.
Mahkamah menetapkan hukuman berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu bermula 20 November 2018.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh telah masuk ke bilik mangsa dan merogolnya ketika dia sedang tidur di sebuah rumah di Kampung Larak Pendek.
Tertuduh telah menutup mulut mangsa dengan tangan menyebabkan dia tidak dapat menjerit.
Pada keesokannya, tertuduh sekali lagi cuba merogol mangsa namun cubaannya gagal apabila bapa saudara mangsa pulang ke rumah.
Mangsa kemudiannya menghubungi talian 999 dan polis membawa mangsa ke Balai Polis Nilam Puri untuk membuat laporan.
#Ahmad Bazli Bahruddin #Hajarul Fallena Abu Bakar #Kampung Larak Pendek #Kota Bharu #Mahkamah Sesyen Kota Bharu #Seksyen 376
;