Rogol berkumpulan: Tiga lelaki mengaku tidak bersalah rogol remaja bawah umur

Abd Razak Mohd Ali
Julai 29, 2022 17:55 MYT
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah tidak bernombor di Taman Dovenby, Sungai Siput antara jam 1 pagi hingga 2 pagi, 14 Julai lalu.- Foto Astro AWANI
IPOH: Tiga lelaki, termasuk seorang remaja bawah umur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas tuduhan melakukan rogol secara berkumpulan, terhadap seorang remaja perempuan bawah umur, dua minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Azeem Abdul Rahman, 20, Mohamad Ariff Haikal Arapin, 21 dan seorang remaja berusia 17 tahun 10 bulan membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa secara bersama melakukan rogol berkumpulan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun 11 bulan.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah tidak bernombor di Taman Dovenby, Sungai Siput antara jam 1 pagi hingga 2 pagi, 14 Julai lalu.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Mohammad Azeem dan Mohamad Ariff Haikal diikat jamin masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin manakala remaja bawah umur dibenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Asmaniza Muhamad manakala semua tertuduh diwakili peguam S. Sundarajan.
BACA: Rogol: Remaja perempuan mengaku tidak bersalah bersubahat
Di mahkamah yang sama, seorang penghantar makanan mengaku tidak bersalah atas satu lagi tuduhan merogol mangsa sama di dalam bilik sebuah rumah di Jalan Felda Lasah, Kampung Pulau Mentimun, Sungai Siput, antara jam 1 pagi hingga 2 pagi, 17 Julai lalu.
Tertuduh, Afiq Yan Muhammad Farid Yan, 20, didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara 10 tahun hingga 30 tahun dan dengan sebatan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Asmaniza Muhamad manakala tertuduh diwakili peguam Navin Pujn dan Mahajoth Singh.
Mahkamah turut menetapkan semua kes itu disebut semula di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada 2 September depan.
Pada Khamis, Afiq Yan mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama atas tuduhan merogol remaja sama di sebuah hotel di Ipoh, lebih kurang jam 12.30 pagi, pada 16 Julai lepas.
Rogol Remaja | Penghantar makanan mengaku tidak bersalah
#rogol berkumpulan #rogol bawah umur #Kuala Kangsar #remaja
;