Rogol bayi 11 bulan: Kertas siasatan diserahkan kepada DPP
Astro Awani
September 3, 2018 19:32 MYT
September 3, 2018 19:32 MYT
Kertas siasatan berhubung seorang lelaki warga emas yang didakwa merogol seorang bayi perempuan 11 bulan telah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan berkenaan dan menunggu jawapan daripada DPP untuk tindakan lanjut.
"Pihak polis telah melengkapkan siasatan dan ia telah diserahkan kepada DPP, dan kita masih menunggu perkembangan selanjutnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis serah terima tugas di Ibu Pejabat Daerah Shah Alam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, beliau menyaksikan serah terima tugas Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Shah Alam antara Deputi Superitendan (DSP) Lai Lee Peng kepada DSP Ahmad Faizal Tahrim.