Rogol: Bapa saudara mangsa dipercayai mabuk

Sinar Harian
Mei 23, 2022 10:00 MYT
Suspek (berbaju hitam) yang berusia 34 tahun dan bekerja sebagai tukang aluminium telah direman selama tujuh hari bermula Ahad. - Foto PDRM
SUNGAI PETANI: Polis tidak menolak kemungkinan lelaki yang merogol anak saudaranya di Bandar Mutiara kira-kira jam 12.30 tengah malam Sabtu berada dalam keadaan mabuk ketika perbuatan itu dilakukan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan lanjut mengenai dakwaan itu masih dijalankan.
Menurutnya, dalam kejadian itu, lelaki berusia 34 tahun yang merupakan bapa saudara mangsa melakukan perbuatan terbabit ketika remaja perempuan berusia 15 tahun lapan bulan itu menumpang tidur di rumahnya.
"Turut berada dalam bilik tidur sama ialah ibu saudara (isteri suspek) dan dua orang sepupu mangsa yang berusia tujuh serta lapan tahun.
"Kita percaya pasangan suami isteri itu berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian berlaku.
"Minuman jenis apa tidak pasti tetapi mereka (bapa dan ibu saudara mangsa) dalam keadaan mabuk," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam Sabtu, suspek dikatakan masuk ke bilik tidur sebelum meraba dan merogol mangsa.
Mangsa dikatakan tidak menjerit disebabkan takut dengan tindakan bapa saudaranya.
Isteri suspek yang berada dalam bilik yang sama tidak menyedari perbuatan itu kemungkinan tertidur disebabkan mabuk.
Media sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan dirogol ketika menumpang tidur di rumah bapa saudara kerana nenek yang menjaganya pulang ke kampung di Pendang selama dua hari.
BACA: Remaja perempuan 15 tahun dirogol bapa saudara
Difahamkan, mangsa yang tidak lagi bersekolah tinggal bersama neneknya sejak setahun lalu.
Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
#rogol #bapa saudara #mabuk #Zaidy Che Hassan
;